ANUGERAH NILAM 2010 (LAPORAN DARI BERITA HARIAN)


Program Nilam WPKL
Oleh Noor Azlina Zainudin
azlina@nstp.com.my
2010/11/24

126 pelajar, empat PKG, dua pusat sumber terima anugerah cemerlang 

MASYARAKAT negara ini terutama pelajar perlu membudayakan tabiat membaca dan menjadikannya suatu cara hidup yang tiada penghujungnya kerana membaca adalah proses pembelajaran sepanjang hayat ke arah melahirkan generasi muda berilmu serta boleh dijadikan sumber rujukan.

Menurut Pengarah Pelajaran WPKL, Mohd Adenan Deraman, berkata golongan yang rajin membaca akan meletakkan diri mereka pada martabat yang jauh lebih tinggi berbanding golongan yang malas membaca berikutan ketinggian ilmu dan pengetahuan yang ditimba menerusi pembacaan.
Justeru, katanya, pelajar yang selesai menduduki peperiksaan juga perlu terus menyentuh bahan bacaan bercorak ilmiah kerana membaca bukan sekadar untuk lulus peperiksaan tetapi paling penting membolehkan kita meneroka pelbagai ilmu yang terdapat di dalamnya. 

“Buku-buku seperti ensiklopedia membuka ruang horizon kita kepada dunia yang lebih luas melampaui ilmu yang terdapat dalam buku teks atau buku akademik di sekolah. 

“Menerusi pembacaan juga kita mampu mendekati negara luar dan menerokai keajaiban serta keindahan dunia tanpa sempadan ini,” katanya semasa Penyampaian Hadiah Pertandingan Membaca Program Nilam dan Anugerah Pusat Sumber Sekolah Cemerlang 2010 Peringkat WPKL, baru-baru ini. 

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Pengarah, Pejabat Pelajaran Bangsar/Pudu, Jamaluddin Abdullah. Hadir sama Ketua Penolong Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri WPKL, Mohd Sanusi Saseetharan Abdullah dan Ketua Sektor Pengurusan Sumber Pendidikan, Bahagian Teknologi Pendidikan Kementerian Pelajaran, Lucia Quek Sai Gearn. 
Pada majlis itu, seramai 126 pelajar menerima hadiah Nilam bagi kategori individu, empat hadiah Pusat Kegiatan Guru (PKG) Cemerlang dan dua Pusat Sumber Sekolah Cemerlang. 

Pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Mary, Selayang, Nareen Kaur Sidhu a/p Baktor Sing dan murid Tahun Lima Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC) Naam Kheung, Cheras, Emily Haw dipilih sebagai Tokoh Nilam Negeri WPKL tahun ini. 

Sementara itu, Tokoh Nilam Khas (Bermasalah Pembelajaran) dimenangi Ahmad Zulfaris Asmadi dari Sekolah Kebangsaan (SK) Polis Depot dan Muhammad Raffi MK Abdul Rahim dari SMK Bandar Baru Sentul. 

Manakala Hanson Ang Ping Ting dari Sekolah Menengah Pendidikan Khas (Cacat Penglihatan) Setapak memenangi kategori Khas - Menengah (Bermasalah Penglihatan) dan Nurul Shahirah Izzati Hamzah dari SK Pendidikan Khas Kg Baharu bagi kategori Khas - Rendah (Bermasalah Pendengaran). 

Seterusnya PKG Bangsar dinobatkan sebagai PKG Cemerlang Keseluruhan dan penerima kategori Pengurusan PKG Terbaik, PKG Sentul (Pengurusan Aktiviti PKG Terbaik) dan PKG Pudu (Pengurusan Pusat Sumber PKG Terbaik). 

Anugerah Pusat Sumber Sekolah Cemerlang pula dimenangi SJKC Lee Rubber bagi kategori sekolah rendah dan Sekolah Menengah Pendidikan Khas (Cacat Penglihatan) Setapak bagi kategori sekolah menengah. 

Sementara itu, Nareen yang bercita-cita untuk menjadi seorang Pakar Ekonomi dan Ahli Politik berkata, pembacaan memberinya persepsi baru mengenai banyak benda seperti apa yang terjadi di dunia luar, sejarah lalu serta fakta yang benar mengenai sesuatu perkara. 

Dia yang memperuntukkan kira-kira RM50 sebulan untuk membeli pelbagai jenis bahan bacaan amat meminati buku berbentuk bukan fiksyen menyifatkan buku sebagai ejen ilmu terbaik dan seseorang akan lebih dihormati jika tinggi ilmunya. 

0 comments: